Ahad, 26 Januari 2025

SKRIP DRAMA KEMISKINAN


 Blog Skrip Drama: 

Kemiskinan Sebagai Realiti Hidup


Kemiskinan sering menjadi cerminan realiti yang melangkaui statistik dan angka kerana ianya adalah kisah kehidupan, perjuangan, dan harapan yang terpendam di celah-celah kesukaran. Blog ini diwujudkan sebagai ruang untuk berkongsi skrip drama yang mengetengahkan isu kemiskinan, bukan hanya sebagai latar cerita, tetapi sebagai fokus utama yang menggerakkan naratif dan watak-wataknya.

Melalui lakaran skrip-skrip yang penuh emosi dan mendalam, blog ini berhasrat membawa pembaca dan penonton menyelami sudut pandang individu yang terperangkap dalam kemelut kehidupan. Setiap watak yang diwujudkan bukan sahaja mencerminkan penderitaan, tetapi juga kekuatan, impian, dan daya juang mereka untuk keluar dari belenggu kemiskinan.

Di sinilah seni bertemu dengan realiti. Setiap baris dialog, setiap adegan, dan setiap klimaks cerita diolah untuk menyentuh hati, mencetuskan kesedaran, dan menginspirasikan perubahan. Selamat datang ke blog ini, di mana skrip drama tentang kemiskinan menjadi suara kepada mereka yang mungkin tidak didengari.

Mengapa kemiskinan sebagai tema utama? Kerana ianya adalah isu yang merentas masa dan budaya, sesuatu yang pernah dilihat, dengar, atau bahkan dirasai. Setiap dialog yang ditulis, setiap adegan yang dilakarkan, dan setiap watak yang dihidupkan dalam skrip ini adalah cerminan suara mereka yang sering tidak didengari. Drama bukan sekadar hiburan keranaa ianya adalah medium yang mampu menyampaikan mesej yang kuat dan meninggalkan kesan mendalam.

Blog ini adalah ruang bagi penulis, pengarah, pelakon, dan penonton untuk bersatu dalam memahami, merasai, dan merenungi isu-isu yang sering terpinggir dalam arus perdana. Selami kisah-kisah yang dikongsikan, dan biarkan ia menjadi inspirasi untuk kita semua lebih memahami nilai kehidupan dan erti sebenar kemanusiaan.

Di sebalik kegelapan kemiskinan, masih ada cahaya yang menanti untuk ditemui. Mari kita telusuri cahaya itu bersama melalui seni penceritaan yang berkesan dan penuh jiwa.


Selamat datang ke blog ini di mana realiti diterjemahkan menjadi seni yang hidup.


 Penulis


1) Jeffirah Binti Jaffi Thompson (BC22110016)
2) Warnadillah Gustin (BC22110026)
3) Angela Poilis (BC22110023)
4) Azrina (BC22110013)
5) Melissa Cheryl Fredeline (BC22110002)


Tajuk Skrip Drama

1) Sepinggan Nasi, Segunung Harapan
2) Impian Aisyah
3) Pelangi Selepas Hujan
4) Harapan Tumbuh
5) Demi Bahagia Mereka


Skrip drama ini boleh dibaca melalui aplikasi flipbook secara percuma. Skrip ini juga dihasilkan bagi melengkapkan kursus Teknik Pra dan Pasca Penerbitan CA30603 sekaligus mempromosikan skrip yang dihasilkan. Kelebihan kelima-lima skrip drama ini ialah:

  1. Menyampaikan Mesej dengan Berkesan
    Skrip drama memberikan platform untuk menyampaikan mesej dan nilai-nilai penting kepada penonton secara kreatif. Melalui dialog, adegan, dan perkembangan watak, mesej dapat disampaikan secara langsung mahupun tersirat, menjadikannya lebih mudah difahami dan memberi kesan emosi.

  2. Menghidupkan Watak dan Cerita
    Skrip bertindak sebagai tulang belakang kepada sesebuah drama dengan memberi panduan tentang watak, latar, dan jalan cerita. Ia menghidupkan imaginasi penulis menjadi pengalaman yang boleh dirasai oleh pelakon dan penonton.

  3. Mencetuskan Kesedaran Sosial
    Banyak skrip drama mengetengahkan isu-isu realiti seperti kemiskinan, diskriminasi, atau keadilan sosial. Ini memberi peluang kepada penonton untuk merenung dan memahami permasalahan yang berlaku dalam masyarakat, sekaligus mencetuskan perbincangan dan kesedaran.

  4. Merangsang Emosi dan Empati
    Skrip yang ditulis dengan baik mampu merangsang emosi penonton, sama ada rasa sedih, gembira, marah, atau kagum. Dengan membawa mereka menyelami kehidupan watak-watak dalam cerita, ia dapat meningkatkan empati terhadap situasi atau individu tertentu.

  5. Medium Hiburan yang Menarik
    Selain menyampaikan mesej, skrip drama juga berfungsi sebagai hiburan. Gabungan dialog yang berkesan, konflik menarik, dan penyelesaian kreatif memberikan pengalaman menonton yang memuaskan.

  6. Fleksibiliti untuk Penyesuaian
    Skrip boleh disesuaikan untuk pelbagai medium seperti pentas, televisyen, atau filem. Ini menjadikannya versatile, membolehkan karya yang sama mencapai audiens yang lebih luas dalam bentuk berbeza.

  7. Menggalakkan Kreativiti dan Inovasi
    Penulisan skrip memberi ruang untuk kreativiti tanpa batasan, sama ada dari segi dialog, struktur penceritaan, atau watak. Ia membolehkan penulis mencipta dunia dan naratif unik yang mampu menginspirasi orang lain.

  8. Memperkukuhkan Identiti Budaya dan Warisan
    Melalui dialog, latar, dan konflik cerita, skrip drama sering memaparkan unsur budaya, tradisi, dan nilai masyarakat setempat. Ini membantu mengekalkan identiti budaya dan mendidik penonton tentang kekayaan warisan tersebut.

  9. Peluang untuk Pemahaman Mendalam
    Skrip yang baik biasanya dilengkapi dengan lapisan makna yang kompleks. Ini memberi peluang kepada penonton untuk melakukan penambahbaikan, memahami tema cerita dari pelbagai perspektif, dan mempelajari pelajaran kehidupan.

  10. Menyatukan Komuniti
    Dalam konteks pementasan drama atau tontonan bersama, skrip berperanan sebagai alat penyatuan yang mampu menggalakkan interaksi antara penulis, pelakon, dan penonton bagi mencipta pengalaman kolektif yang mempereratkan hubungan sesama manusia.


LINK FLIPBOOK KUMPULAN SKRIP DRAMA:



Ahad, 12 Januari 2025

PROJEK TAHUN AKHIR JEFFIRAH

PERWATAKAN WANITA DALAM NOVEL TERPILIH SITI ROSMIZAH: ANALISIS KONSEP FEMINISME TALBIAH


KAJIAN TESIS ILMIAH

Jeffirah Binti Jaffi Thompson, 24 tahun merupakan pelajar tahun akhir bagi Program Seni Kreatif (Penulisan) di Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) Universiti Malaysia Sabah (UMS). Jeffirah atau mesra dipanggil Firah mengambil inisiatif untuk membuat kajian ilmiah bagi projek tahun akhir dengan tajuk "Perwatakan Wanita Dalam Novel Terpilih Siti Rosmizah: Analisis Konsep Feminisme Talbiah". 

    Watak wanita sering diketengahkan oleh pengarang dalam novel sebagai isteri, ibu, dan anak gadis yang memikul tanggungjawab mengikut tuntutan Islam. Isteri memainkan peranan dalam menjaga keutuhan rumah tangga, manakala ibu bertanggungjawab mendidik anak-anak serta memenuhi keperluan keluarga. Hubungan antara anak perempuan dan ibu juga merupakan tema penting dalam karya penulis wanita. Watak wanita sering menjadi jambatan bagi isu utama novel dan menarik untuk dikaji.

Pengarang bertanggungjawab perlu menghasilkan karya yang selaras dengan nilai masyarakat tanpa mengorbankan kreativiti. Naratif yang bijaksana boleh mencerminkan peranan wanita secara dinamik dalam budaya dan sosial. Identiti wanita dalam novel popular wajar dikaji melalui konsep feminisme talbiah untuk memahami lebih mendalam peranan mereka.

Selain itu, penulisan karya harus memberikan kesedaran dan mengajak pembaca berfikir. Elemen epifani dalam pembangunan watak dapat membawa transformasi peribadi dan perkembangan plot yang bermakna. Watak wanita sebagai isteri, ibu, dan anak gadis menunjukkan usaha pengarang memartabatkan kedudukan wanita agar dihormati, sekali gus mencerminkan tanggungjawab mereka dalam masyarakat.


OBJEKTIF KAJIAN

i. Mengenalpasti Perwatakan Wanita dalam Dua Buah Novel Terpilih Karya Siti Rosmizah
Siti Rosmizah mengetengahkan watak wanita sebagai isteri, ibu, dan anak gadis yang cekal menghadapi cabaran hidup. Dalam 7 Hari Mencintaiku, Mia Adriana digambarkan sebagai isteri yang tabah memperjuangkan rumah tangga, manakala dalam Jangan Menangis Cinta, Nurin memaparkan keteguhan sebagai anak gadis yang mempertahankan maruah keluarga.

ii. Menganalisis Identiti Isteri, Ibu, dan Anak Gadis Berdasarkan Konsep Feminisme Talbiah
Feminisme talbiah menekankan peranan wanita yang seimbang antara tanggungjawab tradisional dan hak individu. Watak isteri seperti Mia Adriana menonjolkan peranan menjaga keharmonian keluarga, manakala watak ibu menunjukkan tanggungjawab mendidik anak-anak dengan nilai Islam. Watak anak gadis pula mencerminkan keberanian dalam mempertahankan prinsip hidup sambil menghormati keluarga.

iii. Menilai Kedudukan Wanita dalam Novel Berdasarkan Perspektif Pengarang Wanita
Siti Rosmizah memberikan perhatian terhadap wanita sebagai simbol kekuatan dan kehormatan. Melalui cabaran yang dihadapi watak-wataknya, beliau menonjolkan ketabahan dan keupayaan wanita untuk menjadi agen perubahan, menjadikan mereka contoh inspirasi dalam masyarakat Melayu Islam.


KEPENTINGAN KAJIAN

Kepentingan kajian ini khususnya dalam konteks sastera, ianya memberi penghargaan kepada penulis yang berjaya menghasilkan karya novel popular yang dekat dengan masyarakat yang mencerminkan realiti kehidupan harian yang difahami oleh pembaca umum.

          Setiap isu yang dikemukakan oleh pengarang bersifat segar, menarik, baharu dan relevan dengan nilai didaktik perlu diberi perhatian. Perkara tersebut menunjukkan tanggungjawab penulis kepada masyarakat. Secara tidak langsung, ia menggalakkan penulis novel popular menghasilkan karya yang bermanfaat untuk pembaca. Di samping itu, penghargaan terhadap penulis sastera popular turut memperkukuhkan kedudukan sastera tersebut dalam arus perdana dan mewujudkan lebih banyak ruang untuk kreativiti dan inovasi dalam bidang penulisan.

Selain itu, kajian ini juga memberi manfaat kepada masyarakat, terutamanya dalam memberikan pengetahuan bahawa novel popular bukan sekadar hiburan, tetapi memaparkan realiti sosial yang diolah secara kreatif.  

Di samping itu, kajian ini juga menyediakan input yang berguna kepada penyelidik baharu untuk meningkatkan penyelidikan masa depan dengan meneroka aspek lain yang lebih mendalam dalam mengkaji sastera popular.


KONSEP FEMINISME TALBIAH

Talbiah dalam Islam menekankan kepatuhan kepada Tuhan dan tanggungjawab lelaki dan wanita mengikut syariah untuk saling melengkapi dalam peranan sosial serta agama. Sementara itu, feminisme talbiah pula adalah salah satu cara mengharmonikan hak wanita dalam kerangka Islam tanpa mengabaikan hak dan kebebasan wanita (Ida Roziana Abdullah, 2022:189).

Konsep feminisme Talbiah merujuk kepada penyerahan diri kepada Allah secara mutlak (Zulkifli Mohamad al-Bakri, 2010) berpaksikan keteguhan iman umat Islam (Ida Roziana Abdullah & Abdul Halim Ali, 2019). Menurut Yusuf Al-Qardawi, talbiah menjurus kepada penyerahan diri kepada Allah SWT, yang merujuk kepada agama Islam sebagai peraturan hidup bagi mengukuhkan kedudukan wanita sebagai watak yang harus dihormati (Ida Roziana Abdullah, 2022:189). Sudut ginokritik daripada Elaine Showalter pula adalah salah satu usaha untuk memartabatkan wanita dengan melahirkan karya yang feminis serta pengkritik yang bersifat feministik (Abdul Halim Ali & Ida Roziana Abdullah, 2018:150). Gabungan ginokritik dan talbiah, telah menjadi pelengkap dari aspek tauhid untuk dijadikan sebagai sandaran kepada perwatakan wanita dari segi dalaman mahupun luaran (Ida Roziana Abdullah, 2022:189).

          Aspek dalaman talbiah meliputi psikologi dan spiritual atau kerohanian, iaitu jiwa, akal, hati dan nafsu manakala aspek luaran pula personaliti, ketakwaan dan budaya (Abdul Halim & Ida Roziana, 2018).

          Oleh yang demikian, feminisme talbiah merupakan pendekatan penting dalam menganalisis perwatakan wanita dalam karya sastera. Ianya juga menilai bagaimana watak wanita ditampilkan dengan mengekalkan keseimbangan antara hak-hak mereka dalam masyarakat moden dan kepatuhan kepada ajaran Islam. Lantaran itu, feminisme talbiah membolehkan analisis yang mendalam terhadap peranan wanita dari perspektif kebebasan dan kesaksamaan malah menerusi konteks nilai-nilai agama khususnya agama Islam.


NOVEL TERPILIH

1. 7 Hari Mencintaiku (2011)                           

    Novel 7 hari mencintaiku mengisahkan kehidupan Mia Adriana, seorang peguam yang sombong dan angkuh, terpaksa berkahwin dengan Khuzairi, seorang lelaki kampung yang mencintainya dalam diam. Walaupun Mia Adriana tidak mencintai Khuzairi, perkahwinan mereka adalah untuk menutup malu selepas tunang Mia, iaitu Khalil telah mengkhianatinya dan meninggalkan keluarganya yang telah muflis. Pada awalnya, Mia memandang rendah terhadap Khuzairi dan keluarganya, menyebabkan hubungan mereka sering dilanda konflik, terutama dengan ibu tiri Khuzairi, Mak Leha, dan sepupu Khuzairi yang dikenali Syakila, yang turut cemburu dengan perkahwinan itu. Walau bagaimanapun, selepas melalui pelbagai cabaran dan konflik, Mia akhirnya menyedari cintanya terhadap Khuzairi. Dia mula merindui Khuzairi dan anak kecil yang telah ditinggalkannya. Oleh itu, Mia berusaha untuk memenangi semula hati Khuzairi dalam tempoh tujuh hari, namun masa yang singkat itu mungkin tidak mencukupi untuk mengembalikan cinta suaminya yang sudah terkubur.

 2. Jangan Menangis Cinta (2020)

Novel Jangan Menangis Cinta mengisahkan tentang perjuangan wanita sebagai seorang ibu yang memiliki seorang anak cacat dan menghadapi kesukaran dalam hidupnya apabila tidak diterima dalam keluarga suaminya. Novel ini mengisahkan percintaan, pengorbanan, dan cabaran dalam kehidupan watak-watak utamanya. Ceritanya berputar sekitar kisah cinta yang diuji oleh pelbagai dugaan, termasuk hubungan keluarga yang tegang dan konflik dalaman. Ia menggambarkan cabaran hidup yang menguji kesetiaan dan kekuatan cinta antara dua insan. Cinta dalam novel ini bukan sahaja sekadar hubungan romantik, tetapi juga cinta kepada keluarga, pengorbanan seorang ibu, dan tanggungjawab dalam menjaga anak yang dilahirkan dengan kekurangan. Kisah ini menyentuh perasaan pembaca dengan menampilkan kekuatan emosi watak-watak yang terpaksa berdepan dengan dugaan yang besar dalam hidup.


Poster Media Sosial Berkenaan Projek Tahun Akhir:

    


 


Poster Livestreaming



Video Livestreaming





Podbean Jeffirah Firah


LIVESTREAMING PROJEK AKHIR


Nantikan kajian ilmiah yang berpegang teguh kepada ajaran Islam sekaligus mengangkat martabat seorang wanita sebagai anak gadis, isteri dan ibu.


























SKRIP DRAMA KEMISKINAN

 Blog Skrip Drama:  Kemiskinan Sebagai Realiti Hidup Kemiskinan sering menjadi cerminan realiti yang melangkaui statistik dan angka kerana ...